Showing posts with label artikel. Show all posts
Showing posts with label artikel. Show all posts

Thursday, 29 December 2011

Kekuatan Iman Umat Islam Sering Dicemburui

Artikel Berita Harian



Oleh Mohd Masri Mohd Ramli

WANITA yang memakai pakaian menutup aurat serta berhijab sering berhadapan masalah terutama persepsi negatif daripada orang bukan Islam dan mereka yang tidak memahami tuntutan agama. Selepas kejatuhan empayar Uthmaniyah, antara perubahan dibawa bagi menghapuskan nilai hidup Islam di kalangan masyarakat Islam Turki ialah pengharaman tudung.

Kenapa mereka terlalu takut dengan sehelai kain yang menutupi rambut wanita Islam? Ia adalah satu perkara yang menghairankan, akan tetapi seandainya kita menyelusuri sejarah penutupan aurat, nescaya kita akan menemui jawapannya.

Saidatina Aisyah berkata: Semoga Allah merahmati wanita Muhajirin yang pertama. Tatkala turunnya perintah Allah (dalam surah an-Nur, ayat 31) yang bermaksud: Dan hendaklah mereka melabuhkan tudung mereka hingga menutupi dada), maka mereka terus mengoyak kain mereka dan bertudung dengannya. (Sahih al-Bukhari)

Berdasarkan penjelasan Saidatina Aisyah, kita dapati ketika turunnya ayat menyuruh wanita Islam menutup aurat, tanpa banyak alasan dan soalan, terus sahabat menuruti arahan. Ini menunjukkan kekuatan iman mereka.