Artikel Berita Harian
Oleh Mohd Masri Mohd Ramli
WANITA yang memakai pakaian menutup aurat serta berhijab sering berhadapan masalah terutama persepsi negatif daripada orang bukan Islam dan mereka yang tidak memahami tuntutan agama. Selepas kejatuhan empayar Uthmaniyah, antara perubahan dibawa bagi menghapuskan nilai hidup Islam di kalangan masyarakat Islam Turki ialah pengharaman tudung.
Kenapa mereka terlalu takut dengan sehelai kain yang menutupi rambut wanita Islam? Ia adalah satu perkara yang menghairankan, akan tetapi seandainya kita menyelusuri sejarah penutupan aurat, nescaya kita akan menemui jawapannya.
Saidatina Aisyah berkata: Semoga Allah merahmati wanita Muhajirin yang pertama. Tatkala turunnya perintah Allah (dalam surah an-Nur, ayat 31) yang bermaksud: Dan hendaklah mereka melabuhkan tudung mereka hingga menutupi dada), maka mereka terus mengoyak kain mereka dan bertudung dengannya. (Sahih al-Bukhari)
Berdasarkan penjelasan Saidatina Aisyah, kita dapati ketika turunnya ayat menyuruh wanita Islam menutup aurat, tanpa banyak alasan dan soalan, terus sahabat menuruti arahan. Ini menunjukkan kekuatan iman mereka.
Kekuatan iman inilah yang menjadi punca kejayaan sahabat. Mereka patuh dan taat kepada segala suruhan dan larangan Allah. Kekuatan inilah yang dicemburui musuh Islam. Mereka tahu kekuatan umat Islam ada pada keimanan mereka, lalu untuk memusnahkan umat Islam mestilah dimulai dengan memusnahkan keimanan mereka.
Umat Islam sering lupa bahawa segala aspek kehidupan mereka di dunia ini, tidak kira dalam ibadah khusus kepada Allah seperti solat, puasa, zikir mahupun kehidupan dunia seperti belajar, berniaga dan lainnya berpaksikan kepada dua kalimah syahadah dibaca, Aku bersaksi tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi Nabi Muhammad SAW pesuruh Allah.
Oleh itu, pemakaian menutup aurat juga tidak terlepas daripada kaitannya dengan syahadah kita kepada Allah. Pakaian menutup aurat adalah lambang ketaatan kita kepada Allah dan Rasulullah SAW.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Apa yang aku larang hendaklah kamu hindarinya dan apa yang aku perintahkan maka hendaklah kamu laksanakan semampu kalian. (Muttafaq Alaih)
Arahan menutup aurat jelas termaktub dalam al-Quran dan hadis. Memakainya adalah satu bentuk ketaatan, sementara menanggalkannya pula adalah satu bentuk maksiat kepada Allah dan derhaka kepada Rasul-Nya.
Allah berfirman yang bermaksud: Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenali, oleh kerana itu mereka tidak di ganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah al-Ahzab, ayat 59)
Allah secara jelas menerangkan antara objektif pensyariatan hukum menutup aurat adalah supaya orang beriman lebih mudah dikenali. Memakai pakaian menutup aurat, kita dapat membezakan antara individu beriman dengan yang tidak beriman. Membezakan diri daripada orang bukan Islam adalah salah satu tuntutan akidah Islam.
Ia termaktub dalam konsep al-Wala (kesetiaan) dan al-Bara (berlepas diri). Konsep al-Bara menuntut supaya kita berlepas diri daripada segala bentuk kekufuran, membenci orang kufur serta menjauhi menyerupai identiti mereka.
Umat Islam seolah-olah melupai tuntutan ini. Pemakaian menutup aurat hanya dilihat sebagai satu hukum-hakam feqh yang kecil. Ia dilihat sebagai perkara cabang yang hanya dipandang enteng. Akan tetapi kita melihat sebaliknya berlaku di kalangan musuh Islam.
Mereka seolah-olah memahami betapa pentingnya konsep al-Wala dan al-Bara dalam Islam, lalu mereka cuba melemahkan benteng yang utuh ini. Mereka mahu umat Islam tidak lagi berbeza dengan mereka. Apabila berada di jalanan, kita tidak dapat membezakan siapakah Islam, dan siapakah bukan.
Satu perkara yang mereka serang bagi melemahkan al-Wala dan al-Bara ialah melalui pakaian. Serangan dilakukan dalam pelbagai bentuk, sama ada melalui perundangan menyekat hak wanita Islam yang menutup aurat, mahupun melalui propaganda media massa.
Serangan kedua inilah yang paling berbahaya. Ia merebak di negara kita. Kempen kebebasan ditonjolkan di kaca televisyen sama ada melalui drama, telenovela mahupun iklan syampu yang menonjolkan keayuan perempuan tanpa tudung.
Menutup aurat digambarkan sebagai satu undang-undang kolot dan menyekat hak asasi manusia. Tindakan menghalang wanita Islam menutup aurat juga bertentangan dengan hak asasi manusia.
Musuh Islam tidak pernah berputus asa. Tidak semua umat Islam dapat mereka pengaruhi untuk membuka aurat dan membenci hukum menutup aurat. Bagi yang menutup aurat pula, mereka dikelirukan dalam isu purdah. Kekeliruan yang muncul ini hingga menyebabkan segelintir umat Islam memandang wanita Islam yang memilih menutup wajah mereka daripada pandangan bukan mahram sebagai sekelompok manusia yang ekstrem dan melampau dalam mengamalkan ajaran Islam.
Umat Islam seolah-olah lupa itulah pakaian isteri Rasulullah SAW. Sarjana Islam berbeza pendapat dalam isu wajah aurat atau tidak. Ia dijelaskan secara terperinci oleh Shaikh Muhammad Nasiruddin al-Albani dalam kitab beliau Jilbab al-Marah al-Muslimah.
Beliau berpegang wajah bukan aurat. Sementara untuk membaca hujah sarjana yang mewajibkan pula, boleh dilihat dalam kitab Risalah Al-Hijab susunan Shaikh Muhammad bin Shalih al-Uthaimin.
Tidak kiralah sama ada kita berpegang wajah aurat atau tidak, wajib atau tidak menutup wajah. Kita hendaklah menerima hakikat bahawa pemakaian purdah menutup wajah adalah antara satu perkara yang disyariatkan Islam.
Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan:
Wanita yang memakai purdah berpegang dengan pendapat golongan ulama yang mewajibkannya. Ini adalah hak mereka. Selagi mereka berkeyakinan pendapat yang menyatakan ianya wajib itu kuat, maka mereka wajib memakainya.
Ini kerana seseorang itu berpegang kepada apa yang dia yakin. Seseorang individu tidak wajib mengikut mazhab orang ramai, tetapi hendaklah mengikuti apa dia faham dan yakin berpandukan perbahasan imam ahli sunnah wal jamaah.
Umat Islam hendaklah sedar, serangan yang ditujukan kepada tudung dan purdah adalah salah satu cara menghancurkan identiti Islam. Adalah malang apabila segelintir wanita Islam masih degil daripada menutup aurat walaupun tiada siapa yang akan memandang serong pada mereka.
Mendukacitakan lagi, apabila pemakaian purdah di Malaysia dipandang sebagai taboo dan di sesetengah tempat, pemakai purdah dinafikan hak untuk bekerja dan belajar.
Assalamualaikum, hari ini ramai yang bertudung tapi tidak menepati kehendak Islam, tetapi di doakan muudah-mudahan diberi petunjuk ilahi.........
ReplyDeleteinsyaallah...sama-samalah kita mendoakan.....
DeleteThis comment has been removed by the author.
Deletekenapa ramai yg kononya menutup aurat tp berpakaian jarang n sempit? bertudung tp atas paras dada?
Deletememang pada zaman kini bertudung umpama satu trend berfesyen...bukan sebagai satu tuntutan agama....jika mereka memahami perintah allah mereka tidak akan memakai tudung yang hanya d paras dada dan tidak akan berpakaian jarang dan sempit...tugas kita semua untuk menyampaikan ilmu allah yang sebenar berlandaskan al-Quran.....
Delete